Monday, 23 May 2011

CERPEN :: Sesuatu Yang Hilang - Siri 2::

Sesuatu Yang Hilang - Siri 2

--> Sedutan siri 1 :

==========
"Kau kenal tak budak tu Piah?" soalnya sambil meniarap di atas katil kayu.
"Yang mana satu? Yang hitam macam orang minyak ke.. yang tinggi macam hantu galah tu?" soalku acuh tak acuh.
"Ala.. yang paling hensem tu.. yang ikat rambut tu tadi... ala... "
"Yang ada lesung pipit tu? Yang mata dia coklat tu?"
"Err... kan yang muka panjang-panjang sikit tu.."
"yang ada mata dua.. hidung satu.."
"Piah!" Mastura memetik jari di hadapanku. Aku tersedar.
"Ada apa?" soalku.
"Cepat siap.. kita nak pergi kenduri. Nenek suruh siap.." Amboi.. kena pergi kenduri pulak.. Dengan malas aku memanjat tangga naik ke atas.
==========

KALAU tidak kerana pujukan Mastura dan syarahan percuma dari nenek tadi mati hidup balik aku tak akan pergi ke rumahnya! Sengaja aku memaksa diri senyum dan memaniskan muka bila bersua dengan ibunya. Dan dia mengambil kesempatan tersengih macam kerang busuk disebelah Mak Lijah sewaktu mereka bersalaman.
"Lama ke cuti Piah?" soal Mak Lijah.
"Lama jugak mak cik.. dalam sebulan ada kot..." jawabku sopan.
"Baru habis periksa.." sampuk nenek.
"Yang ini cucu Mak Su jugak ke?" soal Mak Lijah bila melihat Mastura yang sedang bermain mata dengan anak bujangnya.
"Hmm.. anaknya si Hasan.. salam dengan mak cik," Mastura dengan pantas menghulur tangan. Emmm... meluatnya aku.. tanpa menanti aku segera melarikan diri ke dapur. Tolong apa-apa yang patut. Lagipun malas aku nak menatap wajah orang yang amat-amat aku tak suka. Biarlah si Mastura yang melayan mamat tak betul tu. Lagipun bukan Mastura seorang yang sukakan dia. Dulu Maizatul anak penghulu kampung sebelah sampai putus tunang gara-gara terlalu sukakan Zul. Kalau aku nak bawa balik kawan-kawan kena pikir dua kali dulu. Dulu sekali musim buah tahun lepas aku bawa balik room-mates seramai 3 orang.. tiga-tiga gila bayang bila terserempak dengan hantu tu waktu kami mengutip durian di kebun. Sekarang ni sepupu aku pulak minat bagai nak gila kat dia. Kalau setakat minat tu tak apalah.. ni menyusahkan aku. Setiap kali balik mengirim salam berdozen-dozen.. tak sampaikan nanti berdosa pulak.. tapi aku lebih rela pulang balik salam dia orang tu daripada aku bercakap dengan si Zul tu. Dah tu aku pulak kena interview macam-macam. Kadang-kadang aku terfikir sendiri. Apa istimewa sangat Zul tu? Nak kata hensem.. ya Allah.. selekehh.. dengan Tshirt gambar hantu depan belakang.. jeans koyak rabak.. rambut panjang.. belum tengok kapcai dia lagi.. dah tak macam rupa motosikal.. penuh dengan steaker tah apa-apa.. bunyi motornya tu mengalahkan ekzos kapal terbang bunyinya.. satu kampung boleh terjaga kalau dia bawak motor malam-malam. Tapi satu saja sifat baik yang aku nampak...dia menjaga mak dan ayahnya. Dalam erti kata lain di samping menghabiskan beras mak bapak dia seorang saja yang sanggup tinggal di kampung ini walaupun ada degree dari UTM lagi..hemm.. jangan main-main.. kutu lepak pon ada degree sekarang ni!

"Piah!" Opocot mak kau! Zul tertawa melekek. Baru aku sedar rupa-rupanya tinggal kami berdua saja di luar rumah. Mana pergi mak cik lagi dua orang yang sama-sama membasuh pinggan kotor tadi? Dah lesap? Ceh.. mengelat! Zul menghulur pinggan yang masih kotor kepadaku. Eeii.. menyampahnya aku..dengan penuh rasa tak ikhlas aku menyambut. Dia pula segera duduk mencangkung di depanku untuk membilas pinggan yang sudah disabun.
"Sudi jugak datang rumah saya ye.."
"Excuse me.. bukan rumah awak, rumah mak dan ayah awak.."
"Rumah saya la jugak.." Zul menggeleng kepala.
"Kenapa awak tak pernah senyum bila nampak saya?"
"Saja.. suka!"
"Saya banyak dosa dengan awak ke?"
"Boleh tak jangan ganggu saya? Bosanlah.. sejak awak duduk kat kampung nie dah dua tahun dah.. asyik muka awak jer.. siang malam pagi petang.. " ujarku akhirnya. Zul tersenyum.
"Intan apa khabar sekarang ni?" soalnya membuatkan aku menjeling tajam.
"Kenapa awak nak tanya pasal dia lagi? Kan dah tercapai maksud hati awak tu?"
"Saya tak buat apa-apa pun.. dah dia yang minat kat saya nak buat macammana?"
"Eh tupai, kalau awak Cuma nak main-mainkan dia buat apa awak balas cinta dia?"

Tanpa lengah aku bangun dan meninggalkannya seorang di situ. Menyampah betul. Sejak dia kembali semula ke kampung selepas tamat pengajian hidupku betul-betul sengsara. Kalau boleh lari aku memang ingin lari tapi ke mana lagi tempat hendak kutuju? Rumah Pak Long? Belum lagi panas punggung sudah berdentum dentam dengar sindiran dari Mak Long. Ke banglo besar Pak Usu di Kajang? Serupa duduk dalam gua. Pak Usu dan Mak Usu sama saja sibuknya. Sekejap ke Paris, sekejap ke Tokyo.. nak balik melawat nenek dan atuk setahun sekali pun payah. Seingatku kali terakhir Pak Usu balik 10 bulan yang lalu. Itu pun semalaman saja. Kalau nenek dan atuk rindu sangat pada cucunya Amirul itu mereka saja yang ke sana. Atau paling tidak driver pak usu akan hantar Amirul ke kampung. Ke rumah Mastura di Ampang? Tak sempat meneguk air dah ditanya pasal tanah dan rumah peninggalan arwah ayah. Sejak arwah ayah dan mak pergi 10 tahun yang lalu memang Pak Ngah selalu meninjau-ninjau jumlah aset yang arwah tinggalkan. Entahlah.. tak faham juga dengan perangai Pak Ngah yang sentiasa tak cukup-cukup harta. Lalu, kemana lagi harus kutuju kalau bukan rumah atuk dan nenek? Sudah ditakdirkan aku menjadi yatim piatu sejak kecil.

Mujurlah Pak Usu banyak membantu dari segi kewangan. Mak usu juga selalu mengambil berat sehingga aku lebih popular dengan panggilan 'lombong emas' dikalangan sepupu-sepupu.
"Piah.. kau tak dengar ke apa aku cakap ni?" Aku mengeluh bosan.
"Mas.. kau nie tak reti mengantuk ke.. dah pukul berapa ni.. aku nak tidur tau.." keluhku sambil memeluk bantal. Dari tadi sampai la sekarang sudah pukul 2.00 pagi asyik paksa aku mendengar luahan hatinya pada si Zul tu. Sejak balik dari kenduri tadi macam orang dilamun cinta. Sikit-sikit Zul.. sikit-sikit nama malaun tu..
"Kau ni kenapa? Kau jealous ye aku suka kat Zul tu?"
"What?" Aku bingkas bangun dan merenung Mastura.
"Habis tu kenapa bila aku cakap-cakap pasal Zul kau angin semacam?"
"Sebab aku tak nak kau jadi mangsa dia!" Mastura sengih.
"Mangsa?"
"Sudahlah Mas.. yang penting sekarang nie kau lupakanlah hasrat nak bersama dia.. sebelum kau kecewa.." aku bangun dan membawa bantalku keluar dari bilik. Biarlah dia tidur sorang-sorang.. mujur-mujur Zul boleh menemaninya di dalam mimpi! Aku menolak daun pintu bilik sebelah.
Entah kenapa saat-saat begini mata enggan pula terkatup. Semuanya gara-gara si Zul. Seingatku Zul dan keluarganya berpindah ke kampung ini 12 tahun yang lalu, selepas bapanya bersara. Aku tak kenal sangat dengan keluarganya.. Cuma nenek kata kalau ada kena mengena pun ayahnya dua pupu dengan atuk. Zul Cuma sempat bersekolah di kampung sampai tingkatan tiga sahaja. Selepas itu dia ke MRSM Beseri, Perlis. Zul taklah sehandsome mana pada pandanganku. Tapi mungkin kerana dia memiliki sepasang senyuman menawan dan renungan menggoda bak kata Mastura tadi, membuatkan ramai gadis tergila-gilakannya, termasuk kawan baikku Intan. Aku tak tahu apa salah aku. Setahuku aku Cuma memperkenalkan Intan dengan Zul, itupun setelah tiga hari tiga malam Intan membodek aku mengirim surat untuk Zul. Tak sangka pula Intan tak bertepuk sebelah tangan. Legalah aku.. tak payah jadi orang tengah lama-lama. aku ingat setelah tiga tahun berkawan akan kekal bahagia.. tetapi tiba-tiba saja Zul memutuskan hubungan. Dan yang peliknya sejak itu Intan menjauhkan diri dari aku. Putusnya cinta dia dan Zul turut memusnahkan persahabatan kami. Paling sadis Intan ditendang keluar kerana tak cukup kredit tahun pertama di USM. Sejak hari itu hinggalah sekarang aku gagal mengesan Intan. Dan semenjak itu aku cukup benci melihat Zul. Menyesal aku jadi orang tengah. Hari ini.. sepupu aku ni pulak terhegeh-hegeh nak bercinta dengan si malaun tu. Cukuplah sekali aku putus sahabat kerana seorang lelaki, jangan pula selepas ini aku putus saudara kerana si Zul tu.

PANAS terik yang membakar tubuh membuatkan kulitku terasa garing seperti tepung goreng pisang digoreng minyak penuh. Peluh dah meleleh seluruh tubuh.. menyesal pulak pakai T Shirt hitam. Motor buruk atuk yang hidup segan mati tak mahu kupandu berhati-hati. Bimbang berulang peristiwa beberapa tahun dahulu, seminggu aku di hospital gara-gara tertekan gear, melambung macam superman dalam ladang getah. Kalau ikutkan hati malu betul nak bawak motor atuk yang layak masuk muzium ni. Kalau bunyinya okey tak apa jugak.. ni bunyi dia serupa bunyi kambing batuk. Putputputprenggg.. putputputprengggg.. muka aku ni pasti naik tebal seinci enam depa bila masuk ke jalan besar. Pasti kenderaan-kenderaan lain memberi penghormatan bila motor antik atuk ini kubawa menuju ke kedai. Geram juga rasa hati bila Mastura tertawa terkekeh sebaik saja aku menyetart motor. Pandai dia.. mentang-mentanglah tak tahu bawak motor.. senang-senang suggest nama aku kat nenek suruh pergi kedai. Nenek pun satu.. macam tak paham perasaan aku saat atuk menghulurkan kunci motornya tadi. Padahal yang nak makan buah melaka tu si Mastura, bukan aku. Tapi biasalah, bila barang dapur habis aje aku jugak jadi mangsa.. bila cucu-cucu dia yang lain balik nak mencekik apa-apa.. aku jugak.. takkan nak suruh atuk pergi pulak.. kalau sejam pegi sejam balik sah! Bukan tak tahu atuk.. berjiwa penyayang. Semut pun tak sampai hati nak langgar. Tak taulah sama ada dia sayangkan motornya atau semut tu.. tapi yang pasti memang tension kalau suruh atuk ke kedai. Bukan jauh mana pun.. kalau jalan kaki tak sampai 15 minit.

--> bersambung!

Happy to see P.E.O.P.L.E smile (=^_^=)

No comments:

Post a Comment

¸.•*¨*•*¨*ღ¸.•*¨*•*ღ
بِســـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــمِ
ღ¸.•*¨*•*¨*ღ¸.•*¨*•*ღ

Diceritakan Dari Hati ღ
(ღ No Hate Please,Just Love ღ)