¸.•*¨*•*¨*ღ¸.•*¨*•*ღ
بِســـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــمِ
ღ¸.•*¨*•*¨*ღ¸.•*¨*•*ღ
“DASAR TRANSFORMASI NASIONAL: BAJET MEMBELA RAKYAT, MENSEJAHTERA NEGARA”
itulah tema bajet 2012 yang dibentangkan perdana menteri yang menfokuskan 5
perkara utama..berikut inilah teks ucapan yang dipetik ketika perbentangan
bajet 2012 oleh perdana menteri malaysia..info dipetik dari Suarabawahtanah.com
Tuan Yang di-Pertua,
17. Dengan izin Allah SWT jua, Bajet 2012 dirangka dan dirancang
bertemakan “DASAR TRANSFORMASI NASIONAL: BAJET MEMBELA RAKYAT, MENSEJAHTERA
NEGARA” dengan memberi penekanan kepada lima fokus utama.
FOKUS PERTAMA: MELIGAT PELABURAN
18. Sesungguhnya, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar
kepada ekonomi negara dengan mencatatkan hampir 58 peratus kepada KDNK. Di
bawah RMKe-10, Kerajaan mensasarkan sektor ini mencapai 60 peratus kepada KDNK
menjelang tahun 2015. Kerajaan akan meliberalkan 17 lagi subsektor perkhidmatan
secara berfasa pada tahun 2012, merangkumi perkhidmatan hospital swasta;
perkhidmatan pakar perubatan dan pergigian; arkitek; kejuruteraan; perakaunan
dan percukaian; perundangan; perkhidmatan kurier; perkhidmatan pendidikan dan
latihan; serta perkhidmatan telekomunikasi. Inisiatif ini akan membolehkan hak
pegangan ekuiti asing sehingga 100 peratus dalam subsektor terpilih.
19. Tahun 2012 juga merupakan tahun pertama pelaksanaan Rolling Plan
Kedua bagi Rancangan Malaysia Ke-10 dengan peruntukan sebanyak 98.4 bilion
ringgit, 49.2 bilion ringgit bagi tahun 2012 dan 49.2 bilion ringgit lagi bagi
tahun 2013. Rolling Plan Kedua akan menumpukan kepada projek pembangunan
berimpak tinggi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Serentak itu,
untuk mempastikan setiap sen yang dibelanjakan membawa manfaat kepada rakyat,
pengurusan nilai, akan terus diamalkan bagi projek baru bernilai 50 juta
ringgit ke atas.
20. Antara projek utama yang akan dilaksanakan adalah:
• Projek landasan kereta api berkembar Gemas – Johor Bahru;
• Projek Lebuhraya Pantai Timur Jabor – Kuala Terengganu, Lebuhraya
Pantai Barat Banting – Taiping, Lebuhraya Segamat – Tangkak dan Lebuhraya
Central Spine serta pembinaan jalan Kota Marudu – Ranau; dan
• Pembangunan semula Pangkalan Udara Sungai Besi Kuala Lumpur.
21. Dalam Rancangan Malaysia Ke-10, Kerajaan telah menyediakan
peruntukan sebanyak 20 bilion ringgit di bawah Dana Mudahcara perkongsian
awam-swasta atau PPP. Ia berperanan sebagai tipping point bagi membantu sektor
swasta membangunkan projek yang mempunyai nilai strategik kepada negara.
Daripada jumlah ini, 18 bilion ringgit untuk kegunaan projek berimpak tinggi
manakala 2 bilion ringgit untuk projek melibatkan usahawan Bumiputera. Bagi
tahun 2012 pula, Kerajaan memperuntukkan 2.5 bilion ringgit di bawah dana ini
dan dijangka 300 juta ringgit akan digunakan oleh usahawan Bumiputera.
www.uzairothman.com..
22. Bagi tahun 2012, Kerajaan akan memperuntukkan 978 juta ringgit untuk
merancakkan pembangunan di lima wilayah koridor. Di antara projek yang akan
dilaksanakan adalah, pembinaan lebuh raya persisiran pantai Johor Bahru-Nusa
Jaya di Iskandar Johor; projek pelancongan warisan Taiping di Koridor Utara;
projek agropolitan Besut di Koridor Pantai Timur; projek kelompok industri
berasaskan kelapa sawit Lahad Datu di Wilayah Koridor Sabah dan projek bekalan
air Samalaju di Wilayah Koridor Sarawak.
Tuan Yang di-Pertua,
23. Dalam ikhtiar merancakkan industri perbankan, kewangan dan pasaran
modal, usaha berterusan diperlukan bagi menggalakkan pembangunan perkhidmatan
kewangan yang lebih berintegrasi serta komprehensif. Ia dapat dicapai dengan
penubuhan Pusat Pengurusan Perbendaharaan yang akan membangunkan Malaysia
sebagai pusat kewangan berdaya saing di rantau ini. Bagi menarik syarikat
multinasional memilih Malaysia sebagai destinasi utama Perkhidmatan Pengurusan
Perbendaharaan, Kerajaan mencadangkan pakej galakan berikut:
Pertama: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama 5
tahun;
Kedua: Pengecualian cukai pegangan ke atas pembayaran faedah pinjaman;
dan
Ketiga: Pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman
dan perjanjian perkhidmatan.
Tuan Yang di-Pertua,
24. Seperti dibentang dalam Bajet 2011, Kerajaan bersetuju untuk
membangunkan Pusat Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur atau KLIFD dan menimbang
pakej insentif yang menarik. Dengan itu, saya mencadangkan:
Pertama: Pengecualian cukai pendapatan seratus peratus bagi tempoh
sepuluh tahun dan pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian
pinjaman dan perjanjian perkhidmatan bagi syarikat berstatus KLIFD;
Kedua: Elaun Bangunan Industri dan Elaun Modal Dipercepatkan bagi syarikat
berstatus KLIFD Marquee; dan
Ketiga: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima
tahun bagi pemaju hartanah di KLIFD.
25. Merujuk industri kewangan Islam pula, ia telah berkembang pesat
sejak sedekad lalu yakni 22 peratus kepada jumlah keseluruhan aset kewangan
berbanding 6.9 peratus pada tahun 2000. Industri kewangan Islam menyumbang 11
peratus kepada jumlah pekerjaan sektor kewangan negara. Sektor perbankan Islam
dan takaful terus mencatatkan pertumbuhan dua digit dalam tempoh lima tahun
yang lepas.
26. Pasaran sukuk Malaysia juga terus menjadi pasaran bon Islam terbesar
di dunia mewakili dua per tiga daripada sukuk terkumpul global. Kita juga
menjadi perintis dalam mencipta produk kewangan Islam berinovatif. Pada tahun
ini, kita berjaya menerbitkan Sukuk Global Wakala pertama di dunia bernilai dua
bilion dolar Amerika dengan lebihan langganan 4.5 kali ganda. Hakikat ini
menjadi bukti meningkatnya keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara dan
penerimaan dunia terhadap produk kewangan Islam terbitan Malaysia. Lantaran
itu, bagi terus menggalakkan penerbitan sukuk yang menggunakan struktur wakala,
potongan cukai diberi bagi tempoh tiga tahun ke atas perbelanjaan penerbitan
sukuk wakala mulai tahun taksiran 2012. Manakala, pengecualian cukai pendapatan
ke atas penerbitan dan urus niaga sukuk bukan ringgit dilanjutkan lagi selama
tiga tahun sehingga taksiran 2014.www.uzairothman.com
27. Di sudut lain, Exchange Traded Fund atau ETF merupakan salah satu
produk kewangan inovatif. Cabaran krisis kewangan dunia yang berlaku pada tahun
2008 telah membuatkan para pelabur menilai semula tahap risiko pelaburan mereka
dan beralih kepada ETF. Ciri kepelbagaian portfolio yang merangkumi keseluruhan
spektrum ekuiti, bon dan komoditi membolehkan para pelabur meneroka peluang
pelaburan baru melalui pasaran ETF. Untuk merancakkan lagi pembangunan produk
ETF, I-VCap, anak syarikat Valuecap Sendirian Berhad akan menyediakan dana
permulaan patuh Syariah berjumlah 200 juta ringgit. Dana ini akan memberi pinjaman
secara pemadanan dengan jumlah maksimum 20 juta ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
28. InsyaAllah, Kerajaan bercadang untuk menyenaraikan FELDA Global
Ventures Holdings atau FGVH sebelum pertengahan tahun 2012 bagi menghasilkan
dana untuk menjadikan FGVH sebuah syarikat berstatus konglomerat global.
Penyenaraian FGVH akan mewujudkan sebuah lagi syarikat blue chip perladangan di
samping meningkatkan minat pelabur antarabangsa terhadap Bursa Malaysia. Walau
apa pun, hak dan faedah peneroka akan terus dipelihara melalui pemilikan
majoriti saham oleh Koperasi Permodalan FELDA. Apa yang mustahak, setiap
peneroka akan menerima “durian runtuh” yang mana jumlahnya akan diumumkan
nanti, sebelum penyenaraian dilakukan.
Tuan Yang di-Pertua,
29. Menyedari pula keperluan mempelbagaikan produk pasaran modal bagi
menarik pelaburan tempatan dan asing, Kerajaan telah memberi kadar cukai
konsesi 10 peratus ke atas dividen pelabur institusi bukan korporat dan pelabur
individu dalam Amanah Pelaburan Hartanah sehingga 31 Disember 2011. Bagi terus
menggalakkan perkembangan industri ini, Kerajaan mencadangkan galakan cukai
dilanjutkan selama 5 tahun lagi mulai 1 Januari 2012 hingga 31 Disember 2016.
30. Seperti yang dimaklumi, Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) menyumbang
hampir 31 peratus kepada KDNK, 56 peratus kepada tenaga kerja dan mencakupi 19
peratus daripada jumlah eksport. Sebagai usaha meningkatkan lagi sumbangan PKS
kepada pertumbuhan ekonomi, satu skim Dana Pembiayaan PKS patuh syariah
berjumlah dua bilion ringgit yang dikendalikan oleh bank-bank Islam terpilih
akan diwujudkan pada 2012. Seiring maksud ini, Kerajaan akan menanggung dua
peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan.www.uzairothman.com
31. Selanjutnya, kita tahu bahawa, kegagalan usahawan bukan semuanya
disebabkan oleh ketidakupayaan berniaga tetapi juga oleh faktor di luar kawalan
seperti kemelesetan ekonomi dan kenaikan kos. Gagal sekali tidak bermakna gagal
selama-lamanya atau pintu kejayaan telah tertutup. Usahawan yang ikhlas dan
gigih dalam perniagaan mesti diberi peluang kedua. Bagi tujuan ini, Kerajaan
akan menyediakan SME Revitalisation Fund dengan dana 100 juta ringgit. Skim ini
menawarkan pinjaman mudah dengan maksimum satu juta ringgit kepada golongan
peniaga untuk membangunkan semula perniagaan mereka. Dana ini akan diuruskan
oleh SME Bank dan akan ditawarkan pada Januari 2012.
32. Kerajaan juga bercadang untuk menubuhkan satu Dana Kecemasan PKS
sebanyak 10 juta ringgit untuk membantu PKS yang terlibat dengan bencana alam.
Penubuhan dana ini adalah satu langkah proaktif bagi membantu PKS supaya dapat
beroperasi semula seperti biasa dalam tempoh yang singkat. Dana ini akan
disalurkan kepada PKS dalam bentuk geran dan pinjaman mudah melalui SME
Corporation dan MIDF. Skop pembiayaan dana akan meliputi pembelian mesin dan
peralatan untuk menggantikan mesin yang musnah dalam bencana alam, pembelian
bahan mentah dan membaik pulih premis.
33. Menyentuh perniagaan francais pula, kita dapati, francais oleh
syarikat tempatan dapat memperkasakan jenama Malaysia. Jadinya, bagi terus
menyokong pembangunan industri francais tempatan, Kerajaan mencadangkan fi
francais yang ditanggung oleh francaisi dibenarkan potongan cukai. Kerajaan
menyeru syarikat francais tempatan tidak melepaskan peluang untuk terus
berusaha dan memantapkan lagi perniagaan termasuklah mengembangkan sayapnya ke
luar negara.
34. Dalam usaha memajukan teknologi hijau dan menjamin kelestarian
pembangunan negara, pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais kepada
pemegang francais akan terus diberi bagi mengimport kereta hibrid dan kereta
elektrik. Pengecualian cukai ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2013.
35. Berkaitan pelancongan pula, pada tahun 2010, sektor ini berjaya
menarik seramai 25 juta pengunjung asing dengan pendapatan 56 bilion ringgit.
Bagi terus menggalakkan pelancong dari dalam dan luar negara, destinasi menarik
khususnya Pulau Langkawi akan dibangunkan semula. Pelan Induk Lima Tahun
Pembangunan Pelancongan Langkawi akan dilancarkan dengan peruntukan pembangunan
420 juta ringgit. Antara inisiatif yang akan diambil ialah menyusun semula
Lembaga Pembangunan Langkawi, penubuhan pasukan renjer hutan, menaik taraf
muzium, kawasan pantai dan perniagaan serta menyediakan sistem pengangkutan
yang lebih efisien.
36. Kerajaan juga akan terus membantu sektor swasta menyediakan lebih
banyak kemudahan penginapan bagi menarik pelancong berbelanja tinggi. Bagi
menggalakkan lagi pelaburan dalam bidang perhotelan setanding dengan hotel
terkemuka di dunia, Kerajaan mencadangkan pengusaha yang melabur dalam hotel
baru bertaraf empat dan lima bintang di Semenanjung Malaysia diberi galakan
Taraf Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus atau
Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 60 peratus bagi tempoh lima tahun. Galakan cukai
yang serupa telah diberi kepada pengusaha hotel di Sabah dan Sarawak. Di
samping itu, Kerajaan akan memperbadankan Malaysia Healthcare Travel Council
bagi membangun dan mempromosi negara sebagai destinasi utama penjagaan
kesihatan di rantau ini.
37. Berhubung kadar cukai keuntungan harta tanah (RPGT), kadar tetap
RPGT yang rendah iaitu lima peratus didapati tidak begitu berkesan untuk
membendung aktiviti spekulasi dalam pasaran hartanah yang mana jika tidak
dikawal akan memberi tekanan kepada harga hartanah. Situasi ini dalam jangka
masa panjang akan menjejaskan kemampuan golongan berpendapatan rendah dan
sederhana untuk memiliki rumah. Bagi menangani masalah ini, Kerajaan
mencadangkan kadar RPGT dikaji semula. Bagi hartanah yang dilupuskan dalam
tempoh pegangan sehingga dua tahun, kadar RPGT adalah 10 peratus. Bagi hartanah
yang dilupuskan dalam tempoh pegangan melebihi dua hingga lima tahun, RPGT
dikekalkan pada kadar lima peratus. Bagi hartanah yang dilupuskan selepas lima
tahun pula, RPGT tidak dikenakan. Saya yakin, kadar RPGT yang masih rendah ini
tidak menjejaskan pemilik hartanah tulin dan sekali gus dapat mengawal aktiviti
spekulasi dalam sektor hartanah.
Tuan Yang di-Pertua,
FOKUS KEDUA: MENGUNGGULI MODAL INSAN, MENCERNA KREATIVITI DAN MENCETUS
INOVASI
38. Sememangnya, inovasi membolehkan rantaian nilai ekonomi dianjak ke
tahap yang lebih tinggi. Inovasi mencetuskan idea baru yang dirubah menjadi
nilai komersial berdaya maju. Justeru, institusi penyelidikan perlu menyusun
semula strategi untuk menterjemahkan hasil R&D kepada produk yang bernilai
komersial. Inovasi perlu diterap dan diamalkan oleh semua, termasuk sektor
swasta, sektor awam, NGO, ibu bapa, institusi pengajian tinggi, pelajar
sekolah, hatta kanak-kanak prasekolah. Dengan ini, sukacita saya mengumumkan
tahun 2012 sebagai tahun Gerakan Inovasi Nasional. Bagi menjayakan hasrat ini,
Kerajaan telah mengatur beberapa inisiatif strategik dengan peruntukan 100 juta
ringgit seperti berikut:
Pertama: Melaksana program penerapan dan pembangunan inovasi di
peringkat sekolah dan IPTA serta di kawasan luar
bandar. Program ini akan dijalankan melalui kerjasama antara agensi
Kerajaan dan NGO;
Kedua: Meneruskan pelaksanaan program Jejak Inovasi oleh Yayasan Inovasi
Malaysia untuk menggalakkan pencetusan idea baru dan pengkomersialan produk
inovasi hasil penciptaan rakyat terutamanya di luar bandar;
Ketiga: Memperkenalkan Anugerah Cipta 1Malaysia (C1PTA) bagi mengiktiraf
reka cipta pelajar dan belia yang paling inovatif di peringkat nasional.
Program ini akan dilaksanakan oleh NGO dengan kerjasama Kementerian Sains,
Teknologi dan Inovasi;
Keempat: Memupuk budaya inovasi melalui program realiti dan dokumentari
inovasi di media elektronik serta penerbitan artikel di media cetak;
Kelima: Mempastikan sesuatu produk melalui market validation untuk
menentukan daya maju komersial. Untuk ini, Market Validation Fund dengan
peruntukan permulaan 30 juta ringgit akan diwujud dan diuruskan oleh Malaysian
Technology Development Corporation (MTDC) dengan kerjasama Agensi Inovasi
Malaysia;
Keenam: Lebih daripada 300 harta intelek dalam bentuk produk dan
teknologi baru daripada universiti akan ditawarkan kepada sektor swasta untuk
dikomersialkan. Jangkaan Gross National Income atau GNI yang dijana adalah
melebihi 30 billion ringgit sehingga tahun 2020; dan
Ketujuh: Menganjur World Innovation Forum dan Asia Business Angel Forum
pada tahun 2012. Inisiatif ini merupakan sebuah platform untuk menemukan
pelabur dan pembiaya serta komuniti usahawan.
39. Untuk membolehkan syarikat PKS memulakan perniagaan produk
penyelidikan baru dan pengkomersialan, Kerajaan akan menyediakan Dana Inovasi
Pengkomersialan patuh syariah berjumlah 500 juta ringgit pada kadar keuntungan
yang menarik. Dana ini membiayai syarikat PKS di mana produknya telah menjalani
proses pengesahan pengkomersialan pasaran. Dana ini akan disediakan oleh
bank-bank Islam terpilih mulai tahun 2012 dengan Kerajaan menanggung dua
peratus daripada kadar keuntungan.
40. Dalam aspek ini juga, industri perkhidmatan reka bentuk yang
meliputi kreativiti dan inovasi dapat menyumbang kepada peningkatan fungsi dan
keselamatan produk, pengurangan kos serta memenuhi cita rasa pengguna masa
kini. Di samping itu, industri ini juga memainkan peranan penting untuk terus
meningkatkan produktiviti, kualiti dan daya saing produk. Bagi menggalakkan
kreativiti, inovasi dan teknologi moden yang melibatkan pereka bentuk tempatan,
Kerajaan mencadangkan perkhidmatan reka bentuk industri diberi galakan Taraf
Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima
tahun.
Tuan Yang di-Pertua,
41. Ilmu pengetahuan adalah tonggak kepada pembikinan sesebuah tamadun
dan pelapik asas bagi mencapai kecemerlangan. Jadinya, untuk menuju aspirasi
negara maju berpendapatan tinggi, Kerajaan memberi keutamaan kepada pembangunan
sistem pendidikan yang dapat melahirkan tenaga kerja berbakat, berkemahiran
tinggi, mempunyai daya kreativiti serta berinovatif. Sektor pendidikan akan
diperuntukkan 50.2 bilion ringgit bagi tahun 2012. Bagi Kementerian Pelajaran,
peruntukan pembangunan sebanyak 1.9 bilion ringgit akan dibelanjakan untuk
semua jenis sekolah terdiri daripada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis
Kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.
42. Sebagai tambahan, peruntukan 1 bilion ringgit akan diwujudkan melalui
Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi
keperluan mendesak untuk membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan,
pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan. Daripada peruntukan tersebut,
500 juta ringgit kepada Sekolah Kebangsaan, 100 juta ringgit disediakan kepada
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, 100 juta ringgit Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil,
100 juta ringgit Sekolah Mubaligh, 100 juta ringgit Sekolah Agama Bantuan
Kerajaan dan 100 juta ringgit kepada Maktab Rendah Sains MARA.
Tuan Yang di-Pertua,
43. Bagi membolehkan setiap anak-anak Malaysia tanpa mengira latar
sosioekonomi berpeluang kepada masa depan yang lebih baik maka kerajaan akan
mempastikan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Pada masa ini,
pelajar masih dikenakan bayaran 24 ringgit 50 sen bagi sekolah rendah dan 33
ringgit 50 sen bagi sekolah menengah untuk bayaran kokurikulum, kertas ujian
dalaman, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan Insuran Takaful. Ingin
dimaklumkan bahawa, mulai sesi persekolahan 2012, bayaran ini akan dimansuhkan.
Dengan ini, sukacita diumumkan bahawa, buat pertama kalinya dalam sejarah,
pendidikan rendah dan menengah di sekolah-sekolah kerajaan adalah disedia
dengan percuma. Pemansuhan semua bayaran ini akan melibatkan peruntukan
sebanyak 150 juta ringgit.
44. Sektor swasta turut memainkan peranan penting dalam menyediakan
pendidikan berkualiti untuk melahirkan generasi
masa hadapan yang cemerlang. Oleh itu, Kerajaan mencadangkan sekolah
swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran dan memenuhi peraturan yang
ditetapkan diberi galakan berikut:
Pertama: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus atau Elaun Cukai
Pelaburan sebanyak 100 peratus ke atas perbelanjaan modal dalam tempoh lima
tahun;
Kedua: Potongan dua kali bagi perbelanjaan promosi di luar negara bagi
menarik lebih ramai kemasukan pelajar asing; dan
Ketiga: Pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas semua
peralatan pembelajaran.
Kerajaan berharap, dengan adanya penjimatan kos ini kepada pengendali
sekolah swasta, sebagai imbal balas dapatlah dikurangkan sedikit yuran sekolah
para pelajar, agar beban para ibu bapa dapat diringankan.
45. Institusi pendidikan rendah dan menengah yang berdaftar, termasuklah
sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah mubaligh dan sekolah
agama, seringkali menerima sumbangan kewangan daripada syarikat dan orang
perseorangan bagi menambah baik kemudahan di sekolah-sekolah tersebut. Bagi
menggalakkan orang ramai menyumbang kepada sekolah-sekolah tersebut, maka
sumbangan seperti ini diberi potongan cukai. Kemudahan ini juga dipanjangkan
kepada semua tempat-tempat ibadat yang berdaftar. Kerajaan akan menyegerakan
kelulusan pengecualian cukai bagi institusi pendidikan dan semua rumah ibadat
dalam tempoh masa yang singkat.
46. Di samping itu, sektor swasta adalah disaran untuk berganding bahu
memantapkan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi. Untuk ini, Kerajaan
mencadangkan pemberian galakan cukai berikut:
Pertama: Potongan dua kali ke atas perbelanjaan yang dilakukan oleh
syarikat dalam melaksanakan program Internship;
Kedua: Potongan dua kali ke atas pemberian biasiswa; dan
Ketiga: Potongan dua kali ke atas perbelanjaan bagi menyertai pameran
kerjaya di luar negara.
Tuan Yang di-Pertua,
FOKUS KETIGA: PROGRAM TRANSFORMASI LUAR BANDAR
47. Program Transformasi Luar Bandar atau RTP merupakan pelengkap
program transformasi menyeluruh negara. RTP akan mentransformasikan kawasan
luar bandar supaya mampu menarik pelaburan swasta, menyediakan peluang
pekerjaan dan kegiatan ekonomi serta menggalakkan generasi muda kembali
berkhidmat. Oleh itu, Kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah seperti
berikut:
Pertama: Mewujudkan Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC sebagai
pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran
hasil pengeluaran pertanian; perbankan dan insurans; khidmat nasihat
perniagaan; latihan dan kemahiran; klinik serta ruang niaga. Buat permulaan,
Terminal Agrobisnes Negara atau TEMAN sedia ada di Wakaf Che Yeh, Kelantan dan
Gopeng, di Perak akan dimajukan sebagai projek perintis RTC. Di samping itu,
empat lagi RTC akan dibangunkan di Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak;
Kedua: Mewujudkan Dana Perkhidmatan Profesional bagi golongan
profesional seperti peguam, doktor dan akauntan untuk membuka firma di
pekan-pekan kecil. Bagi tujuan ini, dana berjumlah 100 juta ringgit akan
disediakan oleh BSN secara pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus. Di
samping itu, surat cara perjanjian pembiayaan skim ini turut diberi
pengecualian duti setem; dan
Ketiga: Melaksanakan Program Lonjakan Mega Luar Bandar seluas 6,500
hektar di 11 kawasan Projek Agropolitan seluruh negara yang melibatkan tanaman
komoditi, penanaman kontan dan ternakan ikan sangkar dengan peruntukan sebanyak
110 juta ringgit. Di samping itu, RISDA akan melaksanakan program tanaman baru
getah dan penanaman semula getah serta kelapa sawit dengan peruntukan 140 juta
ringgit yang akan memanfaatkan hampir 20,000 pekebun kecil.
48. Seterusnya, untuk memperkukuhkan pembangunan infrastruktur asas luar
bandar secara lebih komprehensif, peruntukan lima bilion ringgit akan
disediakan pada tahun 2012. Daripada jumlah tersebut, 1.8 bilion ringgit bagi
Program Jalan Luar Bandar dan Projek Jalan Perhubungan Desa untuk membina 2,749
kilometer jaringan jalan raya yang membawa manfaat kepada 1.76 juta penduduk
luar bandar. Di samping itu, 2.1 bilion ringgit disediakan bagi memperluas
liputan bekalan air bersih kepada 200 ribu rumah serta 1.1 bilion ringgit lagi
untuk bekalan elektrik luar bandar kepada 39 ribu buah rumah, khususnya di
Sabah dan Sarawak.
49. Melihat kepada kejayaan pelaksanaan Projek Penyelenggaraan
Infrastrukur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) dalam menaiktaraf
infrastruktur asas terutamanya di luar bandar, Kerajaan akan memperuntukkan
sejumlah 500 juta ringgit lagi demi melangsungkan terus usaha mulia tersebut.
Apa yang mustahak, pelaksanaan PIA dan PIAS ini akan melibat penyertaan hampir
29,000 kontraktor Kelas F yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor.
Tuan Yang di-Pertua,www.uzairothman.com
50. Kerajaan amat menitikberatkan bekalan air bersih khususnya kepada
masyarakat luar bandar termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Walau
bagaimanapun, tempoh pelaksanaan projek bekalan air retikulasi ke pedalaman
Sabah dan Sarawak mengambil masa yang lama. Sebagai langkah segera, Kerajaan
telah membekalkan 20 ribu tangki menggunakan kaedah tadahan air hujan, untuk
penduduk pedalaman Sarawak, terutama penduduk rumah panjang yang melibatkan
perbelanjaan 52 juta ringgit. Kemudahan ini memberi faedah kepada hampir 100
ribu penduduk. Bagi tahun 2012, program ini akan dipanjangkan pula kepada
negeri Sabah dengan peruntukan 50 juta ringgit.
51. Di kawasan FELDA pula, infrastruktur sistem bekalan air yang telah
beroperasi melebihi 50 tahun tidak lagi dapat beroperasi dengan baik kerana
kebanyakannya telah usang. Keadaan ini telah menyebabkan berlakunya krisis
kekurangan dan gangguan bekalan air yang kritikal di sesetengah kawasan FELDA,
terutamanya di Pahang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Justeru, Kerajaan akan
memperuntukkan 400 juta ringgit bagi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur
bekalan air secara berperingkat di kawasan-kawasan FELDA yang terpilih.
52. Sementara itu juga, Kerajaan menyedari masih terdapat estet yang belum
mempunyai kemudahan bekalan air bersih. Sebagai permulaan, Kerajaan bersetuju
menyediakan peruntukan 50 juta ringgit untuk menambah baik kemudahan bekalan
air yang melibatkan penyambungan dari estet ke paip utama sedia ada. Kerajaan
juga bersetuju supaya Pihak Berkuasa Bekalan Air mengenakan tarif domestik
kepada perumahan pekerja estet berbanding dengan tarif industri yang dikenakan
sekarang. Kementerian Sumber Manusia akan dipertanggungjawab untuk menyelaras
dan memantau pelaksanaan kemudahan bekalan air ini.
Tuan Yang di-Pertua,
53. Bagi meningkatkan lagi akses perkhidmatan perbankan kepada penduduk
luar bandar, BSN akan melantik agen-agen di kawasan luar bandar di seluruh
negara untuk menyediakan perkhidmatannya. Dalam tempoh tiga tahun akan datang,
BSN akan melantik sejumlah lima ribu agen. Di peringkat permulaan, perkhidmatan
yang disediakan meliputi transaksi simpanan dan pengeluaran, pembayaran bil
serta pembelian Sijil Simpanan Premium. BSN akan menyediakan 50 juta ringgit
bagi membiayai pembangunan sistem, latihan kepada agen dan kos operasi.
54. Selain itu, saya amat maklum bahawa masyarakat luar bandar sering
menghadapi masalah perkhidmatan bas yang kurang memuaskan. Bagi menyediakan
kemudahan yang lebih selesa, boleh dipercaya dan berkualiti, peruntukan
tambahan 150 juta ringgit akan disalurkan kepada Tabung Pembangunan
Pengangkutan Awam di SME Bank. Dengan yang demikian, pengusaha bas
berhenti-henti, bas mini dan bas sekolah boleh memohon pinjaman mudah dengan
kadar faedah empat peratus untuk membeli atau membaik pulih bas. Kemudahan
pembiayaan ini akan disediakan mulai 1 Januari 2012.
55. Dalam pada itu, seperti yang terlukis pada gagasan mulia 1Malaysia,
tidak ada mana-mana pihak, etnik atau kaum yang akan dipinggirkan. Semuanya
mempunyai saham dan hasil mahsul dalam cerita kejayaan Malaysia. Begitulah dari
masa ke semasa pula, pembangunan dan kebajikan Orang Asli terus menjadi agenda
penting Kerajaan. Pada waktu ini, terdapat seramai 190 ribu Orang Asli di
seluruh negara dengan majoritinya tinggal di Pahang dan Perak. Bagi tahun 2012,
Kerajaan akan memperuntukkan 90 juta ringgit untuk penyediaan kemudahan asas
termasuk memperluaskan projek bekalan air terawat serta program penjanaan
pendapatan. Sememangnya, Kerajaan amat bersimpati dengan bencana tanah runtuh
yang berlaku di kawasan Sungai Ruil, Cameron Highlands baru-baru ini. Untuk
mempastikan keselamatan penduduk Orang Asli di kawasan tersebut, Kerajaan
dengan ini memperuntukkan 20 juta ringgit bagi pemindahan penduduk ke kawasan
perumahan baru.
Tuan Yang di-Pertua,
FOKUS KEEMPAT: MEMPERKEJAP PERKHIDMATAN AWAM
56. Bajet 2012 akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam
atau SBPA yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia atau SSM. Sesungguhnya,
SBPA digubal dengan matlamat mentransformasikan Perkhidmatan Awam Malaysia
supaya menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan
prestasi. SBPA akan memperkenalkan prinsip perubahan radikal dalam pengambilan
dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya dengan teras pengekalan atau
penamatan perkhidmatan penjawat awam berasaskan prestasi kerja. SBPA ini
mempunyai elemen-elemen berikut:
Pertama: Mewujudkan Dasar Pemisah atau exit policy bagi penjawat awam
yang berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan
perkhidmatan;
Kedua: Menambah baik struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan
gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam
terus mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lebih lama. Dengan itu, gaji
maksimum bagi sesuatu gred adalah lebih tinggi daripada sekarang. Contohnya,
jika di bawah SSM, bagi seorang guru pada gred DG48, gaji maksimum adalah 6,325
ringgit dan 39 sen, kelak, di bawah SBPA, gaji maksimum beliau akan meningkat
37.7 peratus kepada 8,710 ringgit. Bagi guru bukan siswazah pula, jika di bawah
SSM kini, yang berada pada gred DG34, gaji maksimum adalah 3,860 ringgit dan 52
sen, kelak nanti, di bawah SBPA ia akan meningkat 39 peratus kepada 5,370
ringgit;
Ketiga: Pada perutusan khas Hari Guru yang lalu, saya telah mengumumkan
laluan kerjaya perkhidmatan perguruan siswazah yang lebih baik. Tidak perlu
lagi seperti dulu, seorang guru terpaksa menunggu sehingga 20 tahun untuk naik
pangkat, sebaliknya sekarang, dalam skim baru mengikut time-based, seorang guru
akan mendapat gred 44 pada tahun ke-8 dan gred 48 pada tahun ke-16. Bagi guru
bukan siswazah, dari gred 29 kepada 32, jika mengikut sistem time-based
sekarang, ia memakan masa 10 tahun, namun, di bawah SBPA hanya mengambil tempoh
lapan tahun sahaja. Seterusnya pula, bagi kenaikan gred 32 ke 34, jika sekarang
ini bergantung pada kekosongan, tetapi di bawah SBPA kelak, kaedah time-based
lapan tahun turut diterima pakai; dan
Keempat: Kenaikan Gaji Tahunan tidak pernah disemak sejak 1991. Mulai
tahun 2012, Kenaikan Gaji Tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara 80
hingga 320 ringgit mengikut gred. Di samping itu, bagi penjawat awam yang
menerima opsyen ke SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, di antara 7 hingga
13 peratus.
57. Kerajaan sentiasa prihatin ke atas beban kewangan yang ditanggung
oleh pesara. Dengan pelaksanaan SBPA, lebih 600 ribu pesara Kerajaan akan
menikmati pelarasan pencen yang melibatkan peruntukan 600 juta ringgit. Mulai
tahun 2013 nanti, Kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara
sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem
saraan atau pelarasan gaji.
58. Dunia yang semakin maju menyaksikan keterdepanan dalam teknologi dan
sains perubatan. Hari ini, kita adalah sebuah negara yang secara relatifnya
muda namun suka tidak suka, pada suatu masa nanti kita turut akan menghadapi
fenomena biasa yang berlaku kepada mana-mana negara sedang meningkat maju dan
maju. Antara elemennya, kadar kelahiran berkurang, keluarga memilih untuk
mempunyai bilangan anak yang lebih kecil dan kadar penuaan meningkat. Lalu,
adalah tidak ekonomikal sifatnya dalam keadaan begini jika umur persaraan tidak
dilanjutkan, sedangkan harus barang diingat bahawa kerajaan akan menanggung kos
gratuiti dan pembayaran pencen.
59. Ternyata, penjawat awam yang berumur antara 55 tahun hingga 60 tahun
masih boleh memberi sumbangan berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka. Oleh
itu, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan umur persaraan wajib daripada 58
tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam.
Pelanjutan ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada generasi muda
kerana sektor awam dan swasta akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baru.
Tuan Yang di-Pertua,
60. Kerajaan sentiasa berpegang kepada falsafah dan prinsip bahawa usaha
memperbaiki diri dan menambah ilmu di dada tidak berpenghujung malah
pembelajaran adalah satu proses sepanjang hayat. Untuk menjadi pelaksana yang
berkesan kepada dasar-dasar kerajaan, penjawat awam mesti sentiasa melengkapkan
diri dengan pengetahuan, mempunyai pemikiran dinamik dan analitis.
61. Bagi maksud ini, Kerajaan akan menawarkan bantuan yuran pengajian
kepada penjawat awam untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi
secara separuh masa. Pada tahun 2012, Kerajaan dengan kerjasama IPTA akan
menawarkan 5,000 peluang peringkat ijazah sarjana dan 500 lagi peringkat
kedoktoran falsafah kepada penjawat awam yang layak, termasuklah para guru
dengan peruntukan sebanyak 120 juta ringgit. Kita akan menawarkan 20,000 tempat
kepada kumpulan guru diploma yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat
sarjana muda. Untuk tujuan ini kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 80 juta
ringgit bagi tahun pertama. Kita yakin, dengan pendekatan ini, para penjawat
awam dan para guru, secara keseluruhan perjalanan kerjaya mereka akan bertambah
baik dengan peluang kenaikan pangkat yang lebih cerah.
62. Salah satu daripada lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik yang telah
dikenal pasti dalam mentransformasikan negara adalah Penambahbaikan Kewangan
Sektor Awam atau Public Finance Reform. Inisiatif ini akan dapat meningkatkan
keberkesanan dan ketelusan pengurusan kewangan sektor awam. Selain itu, sistem
pentadbiran cukai yang cekap dan berkesan merupakan prasyarat untuk
memperluaskan asas cukai dan meningkatkan pematuhan oleh pembayar cukai.
Langkah penguatkuasaan akan dipertingkatkan dengan melaksanakan operasi
bersepadu bersama agensi berkaitan, di samping memperkukuhkan sistem ICT agensi
pengutip hasil.
63. Kerajaan juga tentunya menghargai khidmat dan jasa kakitangan yang
telah menamatkan kontrak dari Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian
Penerangan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Kementerian Kemajuan Luar
Bandar dan Wilayah (KKLW) yang berjumlah seramai 4,300 orang. Bagi membantu
golongan ini meringankan kos sara hidup, Kerajaan akan memberi bayaran khas
sebanyak tiga ribu ringgit secara one-off.
Tuan Yang di-Pertua,
64. Lanjutan daripada ucapan saya sempena Hari Malaysia 16hb September
baru-baru ini, kita bakal menempa wajah baru landskap sosiopolitik negara.
Pemansuhan, pemindaan dan penggubalan kerangka perundangan baru bagi
mengimbangi antara kepentingan keselamatan negara dan kebebasan individu akan
memerlukan ‘Policing in a modern and open society’. Falsafah kepolisian yang
dibentuk dalam era insurgency dan ketidaktentuan tidak lagi sesuai pada
kontemporari ini. Kita mahu integriti dan wibawa pihak polis kekal terjunjung
tinggi. Bagi merealisasikannya, kita memerlukan pasukan Polis yang moden dengan
latihan yang sesuai dengan era baru, menuil teknologi moden, kelengkapan
terkini dan cara penyiasatan dan pengumpulan bukti yang saintifik dan canggih.
Untuk ini, peruntukan khas 200 juta ringgit akan disediakan. Manakala sejumlah
442 juta ringgit lagi akan diperuntukkan pada tahun 2012, untuk perbelanjaan
pembangunan PDRM. Antara projek yang akan dilaksanakan merangkumi projek
perumahan anggota polis, penambahbaikan ibu pejabat, balai dan pusat latihan.
65. Rakyat Malaysia turut insaf bahawa harga kita menikmati keamanan dan
kemakmuran bukannya percuma. Ia dibayar oleh mereka yang menyarung seragam
Angkatan Tentera Malaysia yang merupakan benteng pertahanan utama negara.
Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, sudah menjadi tugas kita untuk sentiasa
memelihara kebajikan mereka. Kebajikan anggota tentera sentiasa menjadi
perhatian Kerajaan bagi mempastikan anggota tentera fokus dalam menjalankan
tugas. Tempat tinggal dan suasana kem yang selesa dapat menjadi pemangkin kepada
prestasi kerja yang positif di kalangan anggota. Untuk itu, Kerajaan akan
memperuntukkan 500 juta ringgit di bawah program Army Care untuk menaik taraf
dan menyelenggarakan kem dan kuarters tentera di seluruh negara.
66. Terdapat seramai 175 ribu anggota tentera yang menamatkan
perkhidmatan setelah berkhidmat kurang daripada 21 tahun dan tidak menerima
pencen. Akibatnya, mereka menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan untuk
menampung kos sara hidup. Bagi meringankan beban golongan ini, Kerajaan akan
menyediakan program latihan khusus untuk mereka yang sudah bersara tanpa pencen
bagi menceburi bidang perniagaan serta membantu mendapatkan pekerjaan dalam
sektor awam dan swasta kepada mereka yang layak. Untuk melaksanakan insentif
ini, sebanyak 50 juta ringgit akan disediakan.
67. Sejarah negara penuh dengan cerita-cerita wira yang tidak di
dendang. Mereka yang apabila telah mendengar panggilan Pertiwi untuk
berkhidmat, telah menyahutnya tanpa berlengah. Ini termasuklah lebih 48,000
bekas anggota polis khas dan polis tambahan yang pernah berkhidmat menjaga
keselamatan negara semasa zaman darurat. Mereka terdiri daripada anggota Home
Guard, Special Constable, Extra Police Constable, Auxilliary Police, Women
Auxilliary Police, Women Special Constable, Border Scout dan Jungle Scout.www.uzairothman.com
68. Kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang mengenang budi. Kita
tidak akan membiarkan wirawan dan wirawati tanpa pembelaan yang sewajarnya.
Kita tidak sekali-kali seperti setengah pihak yang menafi dan memperlekehkan
jasa bakti mereka. Sesungguhnya, keringat dan air mata mereka serta keluarga
yang membasahi bumi bertuah ini akan terus malar dan segar dalam sanubari dan
ingatan setiap rakyat Malaysia. Sebagai mengenang jasa bakti mereka, Kerajaan
akan memberi sumbangan sebanyak tiga ribu ringgit secara one-off kepada setiap
bekas anggota serta duda dan balu mereka yang kesemuanya berjumlah hampir
62,000 orang. Sumbangan ini sedikit sebanyak diharapkan dapat membantu
meringankan kos sara hidup.
Tuan Yang di-Pertua,
FOKUS KELIMA: MEREDAKAN INFLASI DAN MENGIMARAH KEHIDUPAN RAKYAT
69. Kerajaan mendengar rintihan rakyat tentang kenaikan harga barang
terutamanya bahan makanan. Bagi menangani fenomena ini, Kerajaan akan mengambil
langkah-langkah yang bersepadu bersifat jangka pendek, sederhana dan panjang.
Antaranya meningkatkan pengeluaran makanan seperti beras, daging, sayur-sayuran
dan buah-buahan melalui langkah berikut:
Pertama: Melancarkan Dasar Agro Makanan Negara 2011 hingga 2020 yang
menggariskan empat strategi iaitu menjamin bekalan makanan mencukupi,
meningkatkan nilai ditambah, melengkapkan dan memperkukuhkan rantaian bekalan
serta menyediakan guna tenaga pertanian berpengetahuan dan terlatih;
Kedua: Memperuntukkan 1.1 bilion ringgit pada 2012 bagi pembangunan
sektor pertanian. Antara projek utama adalah Projek Pertanian Bersepadu
Terengganu Utara, Projek Pengairan Sabah dan Sarawak, Tabung Ekonomi Kumpulan
Usaha Niaga atau TEKUN dan projek-projek lain di bawah NKEA;
Ketiga: Memperluaskan skop pembiayaan Dana Pertanian Komersial kepada
projek pertanian berinovasi. Dengan ikhtiar ini, jumlah dan pendapatan usahawan
tani dapat dipertingkatkan. Peruntukan 300 juta ringgit akan disediakan; dan
Keempat: Memperbanyakkan program ladang kontrak bagi mempastikan bekalan
produk makanan mencukupi. Program ini akan dikendalikan oleh FAMA di mana hasil
keluaran akan dipasarkan terus ke pasar tani seluruh negara. Seramai 4,500
usahawan tani akan terlibat dengan keluasan tanah 7,000 hektar. Untuk tujuan
ini, peruntukan 14 juta ringgit disediakan.
Tuan Yang di-Pertua,
70. Kita kini mendengar pihak-pihak tertentu menguar-uarkan konsep
negara berkebajikan. Kita ucapkan tahniah kepada mereka kerana baru sedar
terhadap konsep negara kebajikan ini. Namun, kita minta mereka ada sedikit rasa
keikhlasan politik, janganlah berlagak seolah-olah merekalah orang pertama yang
menemui formula ini. Bukankah Kerajaan Barisan Nasional sudah sejak sekian lama
mengamalkan konsep negara berkebajikan? Tidakkah berkebajikan kerajaan Barisan
Nasional kini, apabila:
Pertama: Bagi setiap kilogram beras super tempatan, harga asal 2 ringgit
40 sen, rakyat hanya bayar 1 ringgit 80 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 60 sen
atau 25 peratus dari harga sebenar;
Kedua: Bagi setiap kilogram gula, harga asal 2 ringgit 50 sen, rakyat
hanya bayar 2 ringgit 30 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 20 sen atau 8 peratus
dari harga sebenar;
Ketiga: Bagi setiap kilogram minyak masak, harga asal 4 ringgit 75 sen,
rakyat hanya bayar 2 ringgit 50 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 2 ringgit 25 sen
atau 47 peratus dari harga sebenar; dan uzairothman.com
Keempat: Bagi setiap kilogram tepung gandum, harga asal 1 ringgit 90
sen, rakyat hanya bayar 1 ringgit 35 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 55 sen
atau 29 peratus dari harga sebenar.
Kesimpulannya, keseluruhan subsidi bahan makanan asas ini menelan
belanja 2.3 bilion ringgit dan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa
mengira kaya atau miskin, bandar atau luar bandar. Oleh yang demikian itu, kita
ingin bertanya, tidakkah ini dinamakan negara kebajikan?
Tuan yang di-Pertua,
71. Tidak cukup sekadar itu, subsidi Kerajaan bukan terhad hanya kepada
bahan makanan asas sahaja, ia juga merangkumi subsidi produk petroleum dan
bantuan tunai yang melibatkan sebanyak 17 bilion ringgit. Ini meliputi:
Pertama: Bagi setiap liter petrol RON95, harga asal 2 ringgit 75 sen,
rakyat hanya bayar 1 ringgit 90 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 85 sen atau 31
peratus dari harga sebenar;
Kedua: Bagi setiap liter diesel, harga asal 2 ringgit 66 sen, rakyat
hanya bayar 1 ringgit 80 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 86 sen atau 32 peratus
dari harga sebenar; dan
Ketiga: Bagi setiap tong 14 kilogram gas memasak, harga asal 48 ringgit
2 sen, rakyat hanya bayar 26 ringgit 60 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 21 ringgit
42 sen atau 45 peratus dari harga sebenar.
72. Selain itu, Kerajaan juga akan meneruskan pemberian subsidi bil
elektrik berjumlah 20 ringgit sebulan dan ke bawah yang telah dilaksanakan
sejak 2009. Pemberian subsidi ini melibatkan peruntukan 150 juta ringgit dan
seramai 1 juta isi rumah akan mendapat manfaat.
Untuk makluman, segala subsidi, insentif dan bantuan ini berjumlah 33.2
bilion ringgit. Semuanya dengan semangat Rakyat Didahulukan.
Tuan Yang di-Pertua,
73. Bagi tahun 2012, Kerajaan akan menyediakan 1.2 bilion ringgit untuk
program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA yang merangkumi bantuan kepada
warga emas miskin sebanyak 300 ringgit sebulan; bantuan kanak-kanak miskin 100
ringgit sebulan, dengan had maksimum 450 ringgit sebulan serta bantuan dan
elaun kepada Orang Kurang Upaya (OKU) antara 150 hingga 300 ringgit sebulan.
KAR1SMA akan memberi manfaat kepada hampir 500 ribu rakyat dalam membantu
meringankan beban sara hidup.
74. Selanjutnya, Kerajaan juga akan mengambil langkah bagi membendung
kenaikan kos dan harga serta membantu mengurangkan beban rakyat seperti
berikut:
Pertama: Menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia ke seluruh negara.
KR1M menawarkan 250 jenis produk berjenama 1Malaysia meliputi keperluan harian
pengguna pada harga sehingga 40 peratus lebih rendah. Memandangkan sambutan
yang amat menggalakkan, Kerajaan juga bercadang membuka 85 unit tambahan
sehingga akhir 2012 dengan peruntukan 40 juta ringgit;
Kedua: Membuka 30 unit Agro Bazaar Kedai Rakyat di seluruh negara bagi memasarkan
produk pertanian dan barangan berjenama 1Malaysia. Di samping itu, Kerajaan
akan memperluaskan penjualan produk 1Malaysia di semua kedai di bawah Program
Transformasi Kedai Runcit (TUKAR), kedai FELDA dan kedai serbaneka stesen
minyak seluruh negara; dan
Ketiga: Memperluas dan mempromosi Menu Rakyat 1Malaysia yang menawarkan
pakej menu makanan popular pada harga yang berpatutan iaitu maksimum dua
ringgit bagi sarapan pagi dan empat ringgit bagi makan tengah hari. Sehingga
kini, lebih 700 pengusaha telah mengambil bahagian dan dijangka diperluaskan
kepada 3,000 pengusaha pada akhir 2012. Untuk mengembangkan lagi langkah ini,
Kerajaan menggalakkan semua pengusaha kafeteria di pejabat Kerajaan dan swasta
melaksanakan inisiatif Menu Rakyat 1Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
75. Bagi memenuhi permintaan rumah golongan berpendapatan kurang
daripada 3,000 ringgit, Kerajaan telah melancarkan Skim Rumah Pertamaku pada
Mac 2011. Untuk menambah baik skim ini, Kerajaan mencadangkan had maksimum
harga rumah dinaikkan daripada 220 ribu kepada 400 ribu ringgit. Penambahbaikan
ini boleh dinikmati oleh pembeli rumah melalui pinjaman bersama suami isteri
bermula Januari 2012.
76. Bagi membantu pembeli mencapai impian mereka memiliki rumah pertama,
pihak kerajaan telah menubuhkan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA sebagai
satu agensi tunggal yang berperanan untuk membangun dan menyelenggarakan
perumahan mampu milik berkualiti khusus untuk memenuhi keperluan golongan
berpendapatan sederhana. PR1MA akan berperanan sebagai pemaju untuk projek yang
diadakan di tapak pemilikan Kerajaan. Justeru, Kerajaan bercadang untuk
memajukan beberapa bidang tanah pemilikan Kerajaan di sekitar Sungai Besi dan
Sungai Buloh untuk projek sedemikian. Kerajaan juga akan mengenalpasti
kawasan-kawasan berhampiran stesen MRT, LRT atau pengangkutan awam sebagai
kawasan pilihan utama untuk dimajukan oleh PR1MA.
77. Di samping itu, PR1MA juga mengalu-alukan kerjasama antara pihak
swasta untuk membangunkan projek-projek sedemikian. Sehubungan dengan itu,
beberapa pemaju swasta juga telah menyahut seruan Kerajaan untuk menyediakan
rumah mampu milik berkualiti. PR1MA akan memainkan peranan supaya proses
pengagihan untuk projek-projek ini dijalankan secara telus dan adil melalui
sistem pengundian terbuka. Pada tahun 2011, sebanyak 1,880 unit rumah akan mula
dibina di Putrajaya dan Bandar Tun Razak.
78. Bagi tahun 2012 pula, 7,700 unit rumah akan dibina di Cyberjaya,
Putra Heights, Seremban, Damansara dan Bukit Raja. Harga rumah yang ditawarkan
di bawah skim ini lebih rendah berbanding dengan harga pasaran disebabkan tanah
dan dana mudahcara disediakan kepada pemaju. Sebagai contoh, satu unit apartmen
dengan keluasan 1,000 kaki persegi di Putrajaya dijual pada harga 150 ribu
ringgit berbanding harga pasaran 220 ribu ringgit. Kerajaan juga akan memberi
pengecualian sepenuhnya duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman di
bawah program ini.
79. Pada kebiasaannya, rumah dijual sebelum pembinaan bermula di mana
pembeli akan menanggung risiko sekiranya rumah tidak siap atau lewat disiapkan.
Bagi melindungi pembeli, Kerajaan menggalakkan lebih banyak pembinaan rumah
menggunakan kaedah bina kemudian jual. Untuk tujuan ini, bank-bank Islam yang
telah bersetuju akan menyediakan pembiayaan patuh syariah dan mengambil risiko
pembinaan. Pembeli hanya membayar ansuran setelah rumah siap dibina. Skim ini
akan dilaksanakan bagi rumah bernilai 600 ribu ringgit dan ke bawah.
80. Masih ramai lagi rakyat yang belum memiliki rumah, terutamanya
golongan berpendapatan rendah. Justeru, Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan
Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara dengan membina lebih 75 ribu
unit rumah mampu milik di bawah RMKe-10. Bagi tahun 2012, 443 juta ringgit di
peruntukan bagi membina hampir 8,000 unit PPR disewa dan lebih 7,000 unit PPR
dimiliki.
81. Selain itu, Program Rumah Mesra Rakyat yang dikendalikan oleh
Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan diteruskan bagi membantu golongan
berpendapatan rendah memiliki rumah lebih selesa. Di bawah program ini, mereka
yang mempunyai tanah persendirian dan tidak memiliki rumah atau tinggal di
rumah usang, boleh mendapatkan pembiayaan untuk membina rumah sendiri. SPNB
akan diberikan peruntukan tambahan untuk membina 10 ribu unit Rumah Mesra
Rakyat pada tahun 2012. Kos rumah yang berharga 65 ribu ringgit ini, akan
dijual dengan harga 45 ribu ringgit sahaja. Di sini, bagi setiap unit rumah,
Kerajaan akan memberi subsidi sejumlah 20 ribu ringgit. Sebanyak 200 juta
ringgit akan diperuntukkan untuk program ini.
82. Selain itu, melalui Program Pemulihan Rumah Terbengkalai, Kerajaan
berjaya memulihkan dan mendapat Sijil Layak Menduduki (CF) bagi 82 projek yang
melibatkan lebih 15,000 unit rumah. Kerajaan akan terus melaksanakan usaha
murni ini pada tahun 2012 dengan peruntukan 63 juta ringgit untuk memulihkan
1,270 unit rumah terbengkalai. Kerajaan juga memperuntukkan 40 juta ringgit
bagi membaik pulih dan menyelenggarakan rumah kos rendah awam dan swasta.
83. Golongan ekspatriat turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi
negara. Jumlah ekspatriat yang bekerja di Malaysia telah meningkat kepada lebih
kurang 41 ribu orang. Untuk menyediakan suasana kondusif bagi menggalakkan
ekspatriat terus berkhidmat di Malaysia, Kerajaan akan membenarkan golongan ini
mengeluarkan caruman KWSP untuk pembiayaan pinjaman perumahan, sama seperti
kemudahan yang diberi kepada warganegara.
84. Kepada para nelayan, Kerajaan bersimpati dengan kesukaran yang
dihadapi mereka ini yang tiada pendapatan tetap dan bergantung semata-mata
kepada hasil tangkapan. Kita maklum bahawa, kebanyakan nelayan memiliki rumah
yang daif dan kurang selesa. Sehubungan itu, Kerajaan akan mewujudkan Tabung
Khas Perumahan Nelayan dengan peruntukan 300 juta ringgit untuk membina dan
membaik pulih rumah mereka agar menjadi lebih selesa dengan prasarana asas.
Tuan Yang di-Pertua
85. Kerajaan akan terus menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk
rakyat, terutamanya rawatan berkualiti, peralatan terkini serta persekitaran
lebih selesa. Bagi tahun 2012, sektor perkhidmatan kesihatan akan diperuntukkan
15 bilion ringgit untuk perbelanjaan mengurus dan 1.8 bilion ringgit bagi
perbelanjaan pembangunan. Ini melibatkan antaranya pembinaan dan menaik taraf
hospital termasuk di Bera, Kuala Krai, Dungun, Sri Aman dan Tuaran serta
menambah baik blok bersalin di Hospital Putrajaya. Kerajaan juga akan menambah
baik 81 klinik kesihatan luar bandar di seluruh negara dan membuka 50 klinik
1Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
86. Kerajaan amat prihatin dengan keselesaan rakyat terbanyak. Untuk
itu, Hentian Pudu Raya yang digunakan oleh hampir 80,000 pengguna pada
satu-satu masa, yang dahulunya dalam keadaan daif dan kotor, telah dinaiktaraf
dengan belanja sebanyak 40 juta ringgit. Kini, Hentian Pudu Raya telah berwajah
baru dan dinamakan semula sebagai Pudu Sentral.
87. Langkah yang sama akan diambil untuk menambah baik Hospital Kuala
Lumpur (HKL) yang merupakan nadi perkhidmatan kesihatan di kota dan dikunjungi
hampir 3,000 pesakit luar setiap hari. Demi keselesaan warga kota, hospital
yang berusia 141 tahun dan merupakan hospital tertua di Malaysia ini akan
dinaiktaraf supaya menjadi sebuah hospital primer negara dilengkapi dengan
peralatan terkini dan canggih dengan peruntukan 300 juta ringgit. Dari
peruntukan ini, 50 juta ringgit akan digunakan untuk membina sebuah sayap baru
HKL khusus untuk rawatan pesakit luar.
88. Kerajaan juga memahami beban kerja pegawai perubatan di mana mereka
bertugas berterusan melebihi 45 hingga 120 jam seminggu. Situasi ini
sememangnya tidak kondusif untuk mereka memberi rawatan berkualiti. Oleh yang
demikian, Kerajaan telah memperkenalkan jadual kerja luwes atau fleksi Pegawai
Perubatan Siswazah, di mana waktu kerja di jadual semula kepada purata 60 jam
seminggu. Bagi menggantikan Elaun Luar Waktu Bekerja Biasa, Kerajaan
memperkenalkan Elaun Khas Waktu Bekerja Fleksi sebanyak 600 ringgit sebulan
berkuat kuasa 1 September 2011. Bagi pakar dan pegawai perubatan, Kerajaan juga
bersetuju menaikkan elaun on-call semalaman antara 30 hingga 80 ringgit berkuat
kuasa pada tarikh yang sama.
Tuan Yang di-Pertua,
89. Untuk menambah pendapatan boleh guna dan menggalakkan minat melabur
di kalangan golongan berpendapatan rendah, Kerajaan akan memperkenalkan Skim
Amanah Rakyat 1Malaysia atau SARA 1Malaysia yang amat bitara atau istimewa.
Skim ini dibuka kepada isi rumah berpendapatan bulanan 3,000 ringgit dan ke
bawah yang akan memanfaatkan 100 ribu isi rumah. Pelabur SARA 1Malaysia boleh
memohon pinjaman 5,000 ringgit dengan tempoh bayaran balik lima tahun. Pada
akhir tempoh lima tahun, pelabur dijangka mendapat pulangan bersih yang
menarik. Skim ini akan dikendalikan oleh Permodalan Nasional Berhad dengan
kerjasama institusi kewangan terpilih mulai Januari 2012.
90. Bagi mempastikan masyarakat Bumiputera bergerak seiring dengan
perkembangan ekonomi, Kerajaan telah menubuhkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera
(TERAJU) untuk menyelaras dan memacu transformasi serta memperkukuhkan
penyertaan masyarakat Bumiputera dalam perniagaan. Untuk ini, TERAJU akan
membimbing secara berperingkat hampir 1,100 syarikat Bumiputera yang
berprestasi tinggi dan berpotensi untuk disenaraikan di bursa saham. Di samping
itu, MARA akan menyediakan pembiayaan modal kepada warga syarikat korporat yang
berkelayakan untuk pembelian ekuiti serta pengambilalihan syarikat berasaskan
konsep Management Buyout.
91. Pembangunan usahawan merupakan faktor terpenting bagi melonjak
aktiviti ekonomi Bumiputera. Selaras dengan itu, program pembangunan usahawan
yang bersepadu akan dilaksana bagi meningkatkan daya saing dan daya maju
usahawan Bumiputera termasuk masyarakat luar bandar. Justeru, Kerajaan akan
memperuntukkan 200 juta ringgit bagi program pembangunan usahawan dan
kontraktor Bumiputera di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Tuan Yang di-Pertua,
92. Pada perspektif lain, Kerajaan sentiasa peka dan mengambil berat
beban yang ditanggung oleh pemilik teksi bajet persendirian akibat kos operasi
yang meningkat. Tambahan pula, sebahagian besar teksi yang dimiliki telah
melebihi jangka hayat ekonomi. Selain menjaga kebajikan serta menambah baik
perkhidmatan teksi, Kerajaan mencadangkan pemilik teksi bajet persendirian
diberi bantuan seperti berikut:
Pertama: Pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas
pembelian teksi baru buatan tempatan;
www.uzairothman.com
Kedua: Pengecualian bayaran balik duti eksais dan cukai jualan ke atas
teksi yang berusia lebih dari tujuh tahun yang dijual atau ditukar milik;
Ketiga: Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet milikpersendirian;
Keempat: Pemberian subsidi kadar faedah dua peratus ke atas pinjaman
penuh untuk memiliki teksi baru buatan tempatan. Skim pinjaman ini yang
diuruskan oleh BSN akan ditawarkan untuk tempoh dua tahun bermula 1 Januari
2012; dan
Kelima: Pemberian bantuan 3,000 ringgit bagi melupuskan teksi lama yang
berusia melebihi tujuh tahun tetapi kurang daripada 10 tahun. Bagi teksi yang
berusia 10 tahun dan ke atas, bantuan 1,000 ringgit akan diberikan. Bantuan ini
ditawarkan bagi pembelian kereta baru buatan tempatan untuk tempoh dua tahun
mulai 1 Januari 2012.
93. Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan ini, pemandu teksi dapat
memberi perkhidmatan lebih berkualiti, mesra pelanggan dan sekali gus menaikkan
imej negara yang mesra pelancong. Bagi kesemua bantuan di atas, setiap pemilik
teksi bajet persendirian dijangka mendapat manfaat kira-kira 7,560 ringgit.
Pemberian bantuan kepada pemilik teksi bajet ini juga dipanjangkan kepada
pemilik kereta sewa persendirian.
Tuan Yang di-Pertua,
94. Kerajaan komited untuk mempastikan bahawa tidak ada orang yang
dituduh atas kesalahan jenayah ternafi haknya untuk di guami. Pada kala ini,
dianggarkan 80 peratus Orang Kena Tuduh dalam kes jenayah yang tidak mempunyai
peguam untuk membela mereka kerana tidak berkemampuan bagi membayar fi guaman
yang tinggi. Untuk ini, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan akan mempastikan
setiap individu yang didakwa di mahkamah akan diberi bantuan guaman secara
percuma. Bagi maksud tersebut, Kerajaan akan menambah 10 juta ringgit lagi
kepada yayasan pada tahun hadapan membawa jumlah keseluruhan sebanyak 15 juta
ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
95. Bagi mempastikan kebajikan rakyat terus terbela, Kerajaan telah
menyediakan pusat khidmat bantuan sosial yang dikenali sebagai Anjung Singgah
untuk memberi perlindungan sementara golongan gelandangan. Pusat ini
menyediakan khidmat bantuan pekerjaan, kemudahan tempat tinggal dan makanan,
kaunseling serta bantuan kebajikan. Pada masa ini, terdapat hampir 1,400 orang
gelandangan di Kuala Lumpur yang mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat
dan daripada jumlah tersebut, 250 orang telah mendaftar dengan Anjung Singgah.
Program ini akan diperluaskan ke Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.
Tuan Yang di-Pertua,
96. Kerajaan sentiasa mengiktiraf keupayaan wanita dalam bidang
kepimpinan dan pengurusan. Sehubungan itu, Kerajaan telah meluluskan Dasar
Sekurang-kurangnya 30 Peratus Wanita di Peringkat Pembuat Keputusan Dalam
Sektor Korporat. Bagi melaksanakan dasar tersebut, antara yang utama, Kerajaan
akan menjalankan program latihan bagi wanita yang berpotensi menjadi ahli
lembaga pengarah syarikat, membangunkan pangkalan data wanita berpotensi untuk
diketengahkan sebagai pengarah syarikat dan mempergiatkan aktiviti advokasi.
Bagi menarik golongan profesional wanita untuk kembali ke pasaran pekerjaan,
Kerajaan juga akan menyediakan program latihan yang bersesuaian. Bagi
melaksanakan program-program latihan ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan
10 juta ringgit.
97. Pada tahun 2011, Kerajaan telah memperuntukkan 120 juta ringgit
kepada TEKUN. Bagi memberi rangsangan kepada usahawan kecil, saya mencadangkan
peruntukan ini ditambah lebih sekali ganda lagi kepada 300 juta ringgit. Amanah
Ikhtiar Malaysia (AIM) juga akan menyediakan 2.1 bilion ringgit untuk
pembiayaan pinjaman mikro kepada usahawan terutamanya wanita. Daripada jumlah
tersebut, 100 juta ringgit disediakan untuk usahawan kaum India dan 100 juta
ringgit lagi kepada usahawan kaum Cina melalui satu unit khas di bawah AIM.
Untuk mengurangkan kos pengendalian peniaga dan usahawan mikro, Kerajaan
mencadangkan surat cara perjanjian pembiayaan mikro kredit diberi pengecualian
duti setem.
98. Pada masa ini, barah pangkal rahim (kanser servik) merupakan barah
kedua tertinggi di kalangan wanita Malaysia. Kemajuan dalam sains perubatan
telah membolehkan penyakit ini boleh dicegah melalui suntikan imunisasi.
Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia
telah melaksanakan suntikan imunisasi secara percuma kepada murid perempuan
tingkatan satu di semua sekolah Kerajaan, bantuan Kerajaan, swasta dan
antarabangsa mulai bulan April hingga Mei 2010.
99. Bagi membolehkan lebih ramai wanita untuk mendapatkan kemudahan
imunisasi, Kerajaan akan menyediakan perkhidmatan suntikan percuma imunisasi
HPV (Human Papilloma Virus) yang akan dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan
Perancang Keluarga Negara di seluruh negara. Kos imunisasi ini adalah 150
ringgit bagi tiga suntikan. Untuk tujuan ini, peruntukan 50 juta ringgit akan disediakan
pada tahun 2012.
100. Di samping itu, untuk menjamin kesihatan para ibu dan anak, maka
sebuah hospital khusus untuk kaum wanita dan kanak-kanak akan dibina di Kuala
Lumpur melalui perkongsian awam swasta dengan kos 700 juta ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
101. Golongan belia adalah generasi yang menyumbang dan merealisasi
wawasan negara. Generasi muda perlu diperlengkap dengan latihan dan kemahiran
bagi mempastikan peranan mereka dalam pembangunan negara. Untuk ini, Kerajaan
akan memperuntukkan 320 juta ringgit bagi menjalankan pelbagai aktiviti
termasuk latihan kemahiran, program kepimpinan, daya tahan dan keusahawanan di
peringkat daerah dan negeri termasuk sumbangan kepada Majlis Belia Malaysia,
Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah.
102. Apa yang diusahakan pada hari ini bukanlah untuk kita. Akan tetapi,
demi masa depan anak-anak kita. Potensi setiap golongan ini mestilah digembleng
dan dioptimumkan, idealisme mereka mesti digilap, kreativiti mesti dipupuk dan
bakat mereka dibajai untuk terus berkarya. Pujangga berpesan agar mendidik
anak-anak sesuai dengan zaman mereka. Kalau kita dahulu ingin dilayan sesuai
kehendak kita sebagai orang muda, begitu juga anak-anak zaman sekarang.
103. Selaras dengan itu, Kerajaan juga sedar kekangan institusi yang ada
kini dalam mengeluarkan bantuan kepada idea-idea kreatif. Kita perlu bertanya,
jika dengan struktur pembiayaan sedia ada yang kaku dan tegar, adakah idea
orang-orang seperti Bill Gates, mendiang Steve Jobs, Michael Dell, adik-beradik
Wrights, Thomas Edison boleh berjaya? Lantaran, berapa banyak idea dan karya
telah dibakul sampahkan yang berkemungkinan bernilai berbilion-bilion ringgit.
Bertolak dari situ, Kerajaan prihatin terhadap suara dan nurani orang muda.
Sebagai projek perintis, kita bersetuju untuk menubuhkan sebuah syarikat modal
teroka milik Kerajaan yang bernama MyCreative Venture Capital dengan dana
permulaan 200 juta ringgit.
104. Manakala sebanyak 200 juta ringgit lagi akan disediakan untuk
latihan dan kemahiran belia yang tidak meneruskan pengajian persekolahan
melalui Program Strategik untuk Belia 1Malaysia atau Strategic Action for Youth
atau SAY 1Malaysia. Skim ini akan menyediakan pelbagai jenis latihan kemahiran
yang dikendalikan oleh institusi sedia ada seperti Kolej Komuniti, Institut
Kemahiran Mara, Institut Latihan Perindustrian dan Giat Mara. Semasa latihan,
pelatih akan diberi latihan praktikal di GLC dan syarikat swasta supaya mereka
mudah mendapat pekerjaan.
105. Pada masa ini, futsal semakin popular di kalangan belia dan peminat
sukan. Bagi menggalakkan aktiviti sukan ini, Kerajaan telah siap membina 1,100
gelanggang futsal di seluruh negara, manakala 527 lagi sedang dalam pembinaan.
Memandangkan populariti sukan tersebut, Kerajaan akan menyediakan peruntukan 15
juta ringgit bagi membina 150 gelanggang futsal tambahan agar matlamat Satu
Gelanggang Satu Mukim dapat dicapai. Bagi meningkatkan aktiviti riadah terutama
sukan bola sepak, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit bagi menyediakan
kemudahan padang tiruan atau artificial turf yang dilengkapi dengan lampu
limpah di 30 lokasi terpilih seluruh negara.
106. Program sukan berprestasi tinggi termasuk bola sepak, badminton,
skuasy, boling tenpin, acara terjun, memanah dan lumba basikal akan juga diberi
tumpuan. Untuk ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan 30 juta
ringgit menjadikan keseluruhan peruntukan 84 juta ringgit bagi program mengasah
bakat atlet muda supaya mereka dapat bersaing dan berjaya dalam kejohanan sukan
di peringkat antarabangsa.
107. Tidak pernah dilupakan adalah kebajikan warga emas terutamanya
untuk mereka mendapatkan kemudahan awam seperti perkhidmatan kesihatan dan
pengangkutan. Sukacita saya mengumumkan, mulai 1 Januari 2012, semua
warganegara berumur 60 tahun dan ke atas akan dikecualikan caj pendaftaran
pesakit luar di semua hospital dan klinik kesihatan termasuk klinik 1Malaysia
serta pergigian milik Kerajaan. Mereka juga akan diberi diskaun 50 peratus
tambang LRT dan Monorel.
108. Dalam Bajet 2011, bagi mempastikan pekerja swasta dan mereka yang
bekerja sendiri mempunyai simpanan mencukupi semasa bersara, saya telah mengumumkan
pelepasan cukai sehingga 6 ribu ringgit untuk caruman kepada KWSP dan insurans
hayat diperluaskan bagi meliputi caruman kepada Dana Pencen Swasta, kini
dikenali sebagai Skim Persaraan Swasta. Bagi terus menjamin kesejahteraan
rakyat di usia persaraan di samping mempromosi skim persaraan swasta yang
dijangka dapat merancakkan pembangunan pasaran modal, saya mencadangkan:
Pertama: Pelepasan cukai baru sehingga 3 ribu ringgit ke atas caruman
dalam Skim Persaraan Swasta dan anuiti insurans selama 10 tahun. Dengan ini,
pelepasan cukai sedia ada ke atas Skim Persaraan Swasta dan anuiti insurans
dirasionalkan;
Kedua: Potongan cukai ke atas caruman majikan bagi pekerja dalam Skim
Persaraan Swasta; dan
Ketiga: Pengecualian cukai ke atas pendapatan dana Skim Persaraan
Swasta.
109. Kini pesara menghadapi kekurangan simpanan untuk menampung kos
saraan hidup setelah bersara. Kajian menunjukkan hampir 70 peratus menghabiskan
kesemua simpanan mereka dalam tempoh 10 tahun selepas bersara. Bagi
meningkatkan simpanan untuk hari tua, Kerajaan mencadangkan supaya caruman
majikan dinaikkan daripada 12 peratus kepada 13 peratus bagi pencarum yang
menerima gaji bulanan 5,000 ringgit dan ke bawah. Langkah ini akan memanfaatkan
seramai 5.3 juta pencarum KWSP.
Tuan Yang di-Pertua,
110. Ada juga pihak yang sentiasa memfitnah Kerajaan bahawa Kerajaan
hanya berminat dengan projek mega yang bernilai berbilion-bilion. Sesungguhnya
tuduhan ini amatlah memesongkan. Bukankah tercatat dalam lipatan sejarah bahawa
Kerajaan Perikatanlah yang bertanggungjawab menubuhkan Kementerian Pembangunan
Negara dan Luar Bandar lebih 50 tahun yang lalu dan mempelopori pembangunan
secara sistematik? Sebagai kesinambungan tradisi mulia ini, Kerajaan akan
memberi nafas baru kepada kawasan pedalaman luar bandar termasuk kampung
tradisional, rumah panjang dan kampung baru. Melalui Program Transformasi Luar
Bandar atau RTP, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak satu bilion ringgit
untuk membina dan menaiktaraf kemudahan seperti balai raya, surau, parit,
jambatan kecil, lampu jalan termasuk memperbaiki rumah yang usang. Inisiatif
ini akan dilaksanakan dan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan.
Tuan Yang di-Pertua,
111. Air bah atau banjir merupakan bencana utama negara dan setiap tahun
Kerajaan membelanjakan satu bilion ringgit bagi menampung kos kerugian dalam
pelbagai aspek kehidupan. Pada masa ini, terdapat 4 juta penduduk yang masih
tinggal di kawasan berisiko banjir. Sebagai tindakan awal, Kerajaan akan
melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Perlis, Perak dan Johor dengan
kos satu bilion ringgit. Di Perlis, dua projek RTB iaitu naik taraf empangan
Timah Tasoh Fasa 2 dan melebar serta mendalam Sungai Arau akan dilaksanakan. Di
Perak, tiga projek RTB di Sungai Kerian, Sungai Kurau dan Kolam Bukit Merah.
Manakala bagi Johor, projek RTB akan dilaksanakan di bandar dan Sungai Segamat.
Tuan Yang di-Pertua,
112. Dalam usaha untuk terus meringankan belanja seharian rakyat
termasuklah dalam menyekolahkan anak-anak, Kerajaan bercadang membuat pemberian
tunai secara one-off atau sekali sahaja seperti berikut:
Pertama: Bantuan sebanyak 500 ringgit kepada isi rumah berpendapatan
bulanan 3,000 ringgit dan ke bawah. Langkah yang julung kali diambil ini
membuktikan keprihatinan Kerajaan terhadap golongan berpendapatan rendah akibat
kenaikan kos sara hidup. Seramai 3.4 juta isi rumah atau 53 peratus daripada
jumlah keseluruhan isi rumah dijangka mendapat manfaat daripada bantuan ini.
Pemberian ini melibatkan peruntukan sebanyak 1.8 bilion ringgit. Untuk menerima
bantuan ini, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga
Hasil Dalam Negeri sebagai agensi pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan
melalui bank dan Pejabat Pos;
Kedua: Bantuan persekolahan 100 ringgit diberi kepada semua pelajar
sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh
negara. Memandangkan bantuan ini disasarkan kepada keluarga yang berpendapatan
rendah dan sederhana, atas dasar kebertanggungjawaban sosial, terpulanglah
kepada budi bicara penjaga atau ibu bapa yang berkemampuan untuk menerima atau
tidak. Di atas semuanya, langkah ini dijangka dapat meringankan beban
perbelanjaan persekolahan. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada
kira-kira 5.3 juta pelajar dan melibatkan peruntukan 530 juta ringgit. Bantuan
ini juga akan dilaksanakan melalui akaun Bank Simpanan Nasional; dan
Ketiga: Pemberian baucar buku bernilai 200 ringgit kepada semua pelajar
warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan,
matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara. Bantuan ini
dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta pelajar dan melibatkan
peruntukan 260 juta ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
113. Kita sedang berada dalam bulan Zulhijjah dan seruan haji sebagai
Rukun Islam kelima sentiasa saja berkumandang kepada hamba-hambaNya untuk
menuju Baitullah dari mana saja penjuru dunia. Dalam hal ini, Kerajaan
menyedari, ramai golongan berpendapatan rendah menghadapi masalah untuk
mendaftar dan mendapat giliran haji kerana tidak mempunyai tabungan minima
sebanyak 1,300 ringgit. Justeru, bagi membolehkan bakal jemaah mendaftar untuk
menunaikan ibadah haji, Kerajaan dengan ini membenarkan pencarum KWSP membuat
pendaftaran awal melalui penghadangan atau ring-fencing Akaun 2 pencarum
sebanyak 1,300 ringgit. Melalui kaedah ini, wang pencarum sejumlah 1,300 itu
masih kekal dalam KWSP tetapi pencarum sudah boleh mendaftar giliran untuk
menunaikan haji.
Tuan Yang di-Pertua,
114. Kerajaan yakin penjawat awam akan terus mempertingkatkan kualiti
perkhidmatan dalam mempastikan agenda pembangunan nasional menjadi kenyataan. Dalam
konteks ini, seperti yang semua ketahui, pada bulan Ogos yang lalu, Kerajaan
telah pun membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum 500 ringgit
kepada penjawat awam dan bayaran bantuan 500 ringgit kepada pesara.
115. Berdasarkan sokongan dan komitmen penjawat awam yang tidak
terhargakan dalam mencapai matlamat pembangunan negara, sukacita saya
mengumumkan tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum 500
ringgit dan bayaran bantuan 500 ringgit kepada pesara Kerajaan. Bayaran ini
akan dibuat bersekali dengan gaji bulan Disember 2011. Ini akan menjadikan
jumlah bonus bagi tahun 2011 bersamaan sebulan gaji dengan bayaran minimum
seribu ringgit bagi penjawat awam dan bantuan seribu ringgit bagi pesara
Kerajaan. Bayaran ini akan memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam serta 618 ribu
pesara Kerajaan. Bayaran bonus dan bantuan dua kali pada tahun ini akan menelan
belanja sebanyak 4 bilion ringgit.
116. Menyedari tanggungjawab, tugas serta beban kerja Ahli-ahli Parlimen
yang semakin bertambah dari hari ke hari dan perlunya kita memupuk budaya
politik baru bersesuaian dengan Program Transformasi Politik yang saya umumkan
baru-baru ini, maka, Kerajaan dengan ini bercadang untuk mengkaji semula elaun
dan kemudahan Ahli-ahli Parlimen sekalian. Dengan syarat…..kedua-dua belah
pihak, parti Kerajaan dan parti pembangkang mestilah seiya sekata bersetuju.
Termasuklah yang bebas-bebas itu. Setelah dipersetujui nanti, elaun baru ini
akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan.
PENUTUP
Tuan Yang di-Pertua,
117. Saya dan rakan-rakan Jemaah Menteri dan anggota Dewan dari parti
Barisan Nasional berdiri dengan nubari yang jernih bahawa kami melalui Bajet
2012 pada petang yang mulia penghulu segala hari ini, sekali lagi akan
meneruskan tradisi para pendahulu kami dalam meletakkan kebajikan rakyat dan
kesejahteraan negara di tempat yang teratas.
118. Apa yang menjadi keutamaan kepada kami bukannya nostalgia lampau
apatah lagi populariti murahan. Yang terjunjung di atas jemala kami sebagai
Kerajaan yang bertanggungjawab adalah menyediakan masa depan gilang-gemilang
buat semua anak-anak Malaysia. Sebuah masa depan bergemerlapan dengan harapan
dan kemakmuran bukannya masa depan suram dicengkam ketakutan.
119. Sesungguhnya, bersesuaian dengan surah al-Hasyr ayat 7 yang menyeru
“agar harta tidak hanya berlingkar dikalangan orang-orang berada antara kamu”,
maka tidak syak lagi, Bajet yang baru saya bentangkan ini mendakap segenap
taraf sosioekonomi rakyat. Ia tidak meninggalkan yang berpendapatan rendah,
sekalipun menengah atau tinggi, dan tidak pula meminggir mereka yang di bandar
waima di desa.
120. Pucuk pangkalnya, perjalanan yang telah saya dan rakan-rakan
mulakan semenjak April 2009, kini telah menempuh satu puncak penanda. Pastinya,
sepanjang tempoh 30 bulan yang lalu, saya dan rakan-rakan telah melakar hala
tuju jelas negara dalam pusingan akhir bagi menempa wawasan kebangsaan.
121. Ia tidak hanya membabitkan pengukuhan perpaduan nasional berasaskan
prinsip meraikan kepelbagaian, menambahbaik penyampaian sektor awam dengan
merundingi rakyat, proses penstrukturan ekonomi melalui Model Baru Ekonomi dan
Program Transformasi Ekonomi, malah, ia juga menjangkau Program Transformasi
Politik yang akan menjadi saksi menyinsingnya fajar baru Malaysia.
122. Di mana, perbezaan yang sihat serta membina tidak akan lagi menjadi
punca pertelingkahan tidak berkesudahan. Di mana, tidak ada individu yang akan
dihukum hanya sanya kerana ideologi berbeda. Di mana, anak-anak muda akan bebas
untuk menggilap idealisme mereka di atas bumi Malaysia ini, demi kemajuan
negara.
123. Seyogia diperingatkan bahawa, perjalanan ini tidak mungkin berjaya
tanpa laluan yang telah diredah denaikan oleh pendahulu-pendahulu saya
sebermula Almarhum Tunku Abdul Rahman diikuti Allahyarham Tun Abdul Razak,
Allahyarham Tun Hussein, Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah. Ia tidak mungkin
jua terjelma tanpa kestabilan politik yang dihidupkan oleh perkongsian kuasa
melalui konsep Barisan Nasional yang bitara. Yang lebih utama, ia tidak mungkin
dizahirkan tanpa sokongan padu rakyat.
124. Sesungguhnya, sokongan besar rakyat amat penting untuk mempastikan
perjalanan kita akan menemui kejayaan yang diimpikan menuju gapura Malaysia
yang maju, makmur sebagai oasis harapan dan kestabilan dalam lautan dunia yang
tidak menentu.
125. Sememangnya lagi, Kerajaan Barisan Nasional tidak tunduk kepada
tekanan atau apa-apa paksaan untuk mengambil jalan yang benar dan betul demi
warga Malaysia. Kami yakin dengan perjuangan yang kami gandar ini bukannya
dibuat-buat atau sebuah ilusi silap mata sebagai guna menutup lompang
keikhlasan dan kebobrokan syaksiah serta kemunafikan intelektual seperti
sesetengah pihak. Perjuangan kami warisan mulia zaman berzaman meniti generasi.
126. Perjuangan ini bukan perjuangan sehari, seminggu, sebulan mahupun
setahun. Ia adalah perjuangan berdekad lamanya. Inilah sebuah Bajet di bawah
lembayung Dasar Transformasi Nasional diilhamkan demi rakyat. Kepada Allah jua
kita berserah.
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan.. saya ya saya pun coppy..
Tweet